Khamis, 17 April 2008

TAWAKKAL SEORANG PENGHUTANG

Imam Bukhari dalam sohihnya telah meriwayatkan.hadis daripada Abu Hurairah yang memberitahu mengenai sebuah kisah yang diceritakan oleh Rasulullah S.A.W untuk renungan kita bersama. Rasulullah S.A.W telah menceritakan bagaimana ada seorang lelaki daripada bani Israel telah menemui seorang kaya yang memang terkenal dengan pemurahnya untuk tujuan meminta hutang bagi menampung perniagaannya. Dia memohon hutang dengan jumlah yang banyak iaitu seribu dinar. Apabila diminta agar dia dapat membawa saksi untuk tujuan hutang tersebut maka dengan penuh yakin dia memberitahu bahawa cukuplah Allah sebagai saksi.Apabila diminta supaya dia menyerahkan sesuatu gadaian bagi jaminan sekiranya dia tidak mampu membayar hutang itu maka sekali lagi dengan penuh yakin dia menjawab bahawa cukup hanya Allah sebagai penjamin.Orang kaya itu terus memberi hutang sejumlah yang diminta oleh lelaki tadi tanpa saksi dan gadaian serta membenarkannya kerana dia juga merupakan yang soleh dan yakin kepada Allah. Mereka berdua telah bersepakat mengenai hutang itu dalam masa yang telah ditetapkan bersama.
Apabila berhasil mendapatkan hutang itu maka lelaki tadi terus menuju ke kapal untuk menjalankan perniagaannya.Apabila telah hampir dengan tempoh yang dijanjikan, lelaki itu terus menuju ke laut untuk menemui orang kaya tetapi malangnya pada ketika itu tiada kapal untuk ke sana. Ini menyebabkan dia begitu kecewa dan risau kerana bimbang dia akan melanggar janji yang telah disepakati sebelum ini sedangkan dia telah menjadikan Allah sebagai saksi dalam hutangnya dan juga Dia sebagai penjamin. Dia telah berfikir dan mencari jalan terbaik di dalam melangsaikan hutangnya itu dan akhirnya dia mengambil keputusan dengan mengambil sepotong kayu dan menebuk lubang ditengahnya. Selepas itu, dia memasukkan wang dan juga sepucuk surat yang mana di dalamnya tertulis sebab sebenar kegagalannya menemui orang kaya itu di celah lubang yang ditebuk tadi dan seterusnya menghanyutkannya ke dalam laut. Dia berbuat demikian sambil tawakkal sepenuh hatinya kepada Allah agar ia mampu sampai ke destinasi yang dikehendakinya dengan selamat.
Tindakan ini bukanlah tindakan yang bodoh tetapi ia dilakukan dengan penuh perasaan tanggungjawab dan tawakkal kepada Allah. Dia begitu yakin kepada pertolongan Allah yang Maha berkuasa ke atas setiap sesuatu. Dia melihat kayu itu di bawa pergi oleh ombak laut sambil berdoa kepada Allah agar segala usahanya yang mampu dibuat itu akan berjaya. Allah menerima segala doanya apabila pada hari yang telah ditetapkan, kayu itu sampai ke kampung temapat oarng kaya itu tinggal dan pada hari yang sama juga orang kayu tersebut keluar ke tepi pantai yang mana dia telah menemui kayu itu. Dia terus mengambil kayu itu dan membawanya pulang ke rumah yang mana apabila tiba di rumahnya, dia memerintahnya agar ahli keluarganya membelahkannya untuk melihat apa yang ada di dalamnya. Apabila dibelah maka dia daapti ada wang dan juga surat penjelasan daripada lelaki yang berhutang dengannya itu. Ini ia antara contoh bagaimana Allah mampu melakukan sesuatu yang tidak mungkin mapu dibuat oleh makhlukNya yang lain. Oleh itu, kita mestilah yakin dan bertawakkal kepada Allah samada dalam susah atau pun senang.
Manakala lelaki tadi apabila mempunyai peluang dan kemudahan untuk pergi ke kampung oarng kaya itu, maka tanpa berlengah lagi dia terus ke sana bertujuan untuk membayar hutangnya jika wang yang dihantar tadi tidak sampai kepada orang kaya itu.Apabila tiba ke rumah orang kaya itu, maka dia menjelaskan mengenai perkara sebenar yang telah berlaku kepada dirinya pada hari yang telah dijanjikan untuk menunaikan hutang yang telah lalu.Dia masih berdukacita di atas kegagalannya untuk menemui orang kaya tadi bagi menjelaskan hutangnya. Setelah mendengar penjelasan itu, maka orang kaya tadi terus memberitahu mengenai perkara yang telah berlaku yang mana wang yang dikirim itu telah selamat diterimanya. Apabila mendengar berita ini, maka dengan penuh kesyukuran lelaki tadi memuji Allah dan bersyukur kepadaNya di atas segala pertolongan yang dianugerahkan.

PENGAJARAN
1. Setiap zaman memang wujudnya mereka yang soleh dan sentiasa bertawakkal kepada Allah dalam setiap urusan yang ditunaikan.
2. Kita mestilah yakin dan bertawakkal kepada Allah dalam setiap pekerjaan yang dilakukan samada dalam keadaan senang atau pun susah.
3. Di dalam syariat Islam ada hukum berhutang dan gadaian.Begitu juga dalam masalah saksi dalam berhutang yang mana ia bertujuan menjauhkan daripada penipuan dan kezaliman.
4. Allah menerima segala permintaan hambaNya yang yakin kepada kekuasaanNya.
5. Kita diwajibkan menepati janji yang telah disepakati bersama dan berdosa sekiranya kita melanggarinya.
6. Perniagaan merupakan suatu pekerjaan yang disukai oleh Allah dan ia telah dijalankan semejak dahulu lagi.
7.Kita mestilah yakin kepada kemampuan kita untuk membayar balik segala hutang yang dibuat sebelum berhutang agar ia tidak akan menyusahkan kita nanti.Sebab itulah di dalam Islam diwujudkan hukum mengenai gadaian.

Bibiografi
1. Sohih al-Qisas an-Nabawi, Doktor Umar Sulaiman Abdullah al-Ashqar, Darul an-Nafais

Label:

ISLAM DAN KESIHATAN

Islam adalah agama yang amat mementingkan kesihatan. Melalui syariatnya, ia telah mendidik umatnya supaya suka dan gemarkan kepada penjagaan kesihatan, sesuai pula dengan naluri manusia itu sendiri yang inginkan hidup yang sihat. Kesihatan pada umumnya berpunca daripada kebersihan. Dengan itu, umat Islam disuruh agar sentiasa berada dalam keadaan suci bersih terutamanya dalam beribadat kepada Allah. Hukum bersuci yang disyariatkan oleh Islam amat luas sehingga mencakupi bukan sahaja kebersihan dan kesucian lahiriah tetapi juga batiniah. Peraturan-peraturan seperti istinjak, wudhuk, mandi junub, samak dan lain-lain lagi adalah secara hakikinya membawa kepada kebersihan dan kesucian lahiriah (zahir). Keadaan bersih dan sihat ini adalah dikira sebagai satu nikmat daripada Allah dan manusia sewajarnya bersyukur. Firman Allah dalam ayat 6 surah al-Baqarah yang bermaksud :
“….. Allah tidak menjadikan kamu menanggung kesusahan (kesukaran), tetapi Dia mahu membersihkan(menyucikan) kamu dan Dia hendak menyempurnakan nikmatNya kepada kamu agar kamu bersyukur “

Ayat di atas adalah berkaitan dengan cara-cara berwudhuk iaitu cara bersuci bagi umat Islam yang menanggung hadas kecil bagi tujuan mengerjakan sembahyang atau ibadat-ibadat yang lain. Bagi yang menanggung hadas besar pula, diwajibkan mandi untuk menyucikannya. Sebagaimana yang dinyatakan dalam ayat tersebut, Allah tidak sekali-kali mahu menyulitkan atau menyusahkan hambaNya tetapi segalanya dibalas dengan pahala kebajikan di sisi Allah. Dalam keadaan yang tertentu, penggunaan bahan-bahan seperti batu atau debu untuk bersuci adalah dibenarkan.

Nabi Muhammad S.A.W sendiri menjadi contoh tauladan dan ikutan seluruh umat Islam. Baginda sangat menjaga kesihatan tubuh badan dan lain-lain serta menggalakkan amlan kebersihan sebagaimana yang pernah dinyatkan oleh baginda S.A.W di dalam hadisnya yang bermaksud : “ Kebersihan itu sebahagian daripada iman ‘’. Di sini Rasulullah S.A.W menghubungkan kebersihan itu dengan keimanan. Dengan itu jelaslah bahawa kebersihan itu amat penting dalam kehidupan manusia khususnya bagi umat Islam. Banyak lagi pendidikan kesihatan yang diajar oleh Rasulullah S.A.W kepada umatnya termasuk aspek kebersihan tubuh badan, pakaian, alam sekitar dan juga makanan. Daripada segi makanan umpamanya, Islam bukan sahaja mengajar umatnya memakan makanan yang baik dan berzat sahaja tetapi sumber ianya diperolehi juga wajib diambil perhatian. Dalam ayat 68 surah al-Baqarah, Allah telah berfirman yang bermaksud :
Wahai sekalian manusia! Makanlah apa yang ada di bumi yang halal lagi baik dan janganlah kamu mengikuti jejak langkah syaitan kerana sesungguhmya syaitan itu adalah musuh yang terang lagi nyata bagi kamu.

Dalam ayat 172 surah al-Baqarah Allah berfirman yang bermaksud :
Wahai orang yang beriman! Makanlah daripada benda yang baik (yang halal) yang telah kami kurniakan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah jika benar-benar kamu hanya beribadat kepadaNya.

Kedua-dua ayat ini adalah di antara ayat-ayat yang menyentuh mengenai makanan. Makanan yang baik dan halal akan dapat membantu malah mungkin boleh menjamin kesihatan tubuh badan. Dalam ayat yang 68 surah al-Baqarah itu, disertakan juga perintah Allah agar umat Islam tidak menurut jejak langkah syaitan. Ini membawa erti bahawa seseorang yang memakan makanan yang baik dan berzat tetapi ia adalah haram kerana tidak disembelih mengikut peraturan Islam ataupun melalui sumber yang haram seperti ia dirampas, curi, duit riba dan selainnya, yang mana ia mungkin boleh menyuburkan jasmani tetapi akan merosakkan rohani manusia samalah seperti mengikut jejak langkah syaitan yang boleh menjerumuskan manusia ke dalam dosa.

Kemudian dikaitkan juga makanan yang baik itu dengan syukur dan ibadat kerana sebagai hamba, manusia yang menerima nikmat makanan yang baik, rumahtangga yang bersih dan kesihatan yang sempurna, sepatutnya mengucapkan syukur kepada Allah yang mengurniakan segala-galanya. Kesihatan yang sempurna dapat membantu manusia dalam beribadat kepada Allah. Demekianlah ketegasan Islam mengenai kesihatan.
Satu lagi bentuk pendidikan Islam dalam bidang kesihatan ini ialah perintah Allah supaya bersederhana dalam makan dan minum kerana makan yang berlebihan atau menahan lapar akan mengganggu kesihatan yang menyebabkan amal ibadat seharian terhalang. Perkara ini dilarang kerana ia juga adalah daripada dorongan syaitan yang sememangnya sentiasa berusaha untuk menyesatkan umat manusia. Allah telah memberitahu kita mengenai perkara ini melalui ayat 31 surah al-A’raf yang bermaksud :
“……dan makan serta minumlah tetapi jangan tetapi jangan pula kamu melampaui batas kerana sesungguhnya Allah sangat benci kepda mereka yang melampaui batas”.

Demikianlah Islam mendidik dan membentuk peribadi muslim yang baik dan terpuji akhlaknya. Allah Maha Mengetahui keperluan hamba-hambaNya. Banyak terdapat bimbingan dan asuhan akhlak di dalam al-Quran dan hadis nabi S.A.W yang perlu dikaji dan dijadikan panduan hidup oleh umat Islam. Manusia dengan akal yang sempurna kurniaan Allah boleh berusaha untuk menggali segala rahsia alam. Selagi umat Islam dapat meyakinkan diri mereka bahawa ajaran Islam itu adalah cara yang terbaik dan mengambilnya sebagai cara hidup, mereka akan selamat dan sihat sejahtera di dunia dan akhirat.

Label:

MENJAGA LIDAH SERTA MENGHORMATI TETAMU DAN JIRAN

1. Daripada Abu Hurairah Radhiallahu 'anhu berkata : Sabda Rasulullah S.A.W : Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka dia hendaklah bercakap baik ataupun diam. Dan sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat maka dia hendaklah menghormati jirannya dan sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka dia hendaklah memuliakan tetamunya.
- Riwayat imam Bukhari dan imam Muslim -
2. Di dalam sohih Bukhari tercatat hadis yang bermaksud : Sesiapa yang beriman pada Allah dan hari akhirat maka dia hendaklah berbuat baik dengan tempoh buat tetamu. Maka disoal : Dan apakah tempoh untuk tetamu? Sabda nabi S.A.W : Tiga hari maka hari yang selebihnya adalah sedekah.
3. Di dalam sohih Bukhari dan Muslim tertera hadis yang bermaksud : Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka dia hendaklah memuliakan tetamu dengan menjaga bahagiannya. Para sahabat bertanya : Dan apakah bahagiannya? Sabda nabi S.A.W : satu hari dan satu malam. Sabda nabi S.A.W : Dan bertamu selama tiga hari dan hari selebihnya adalah sedekah.
4. Imam Ahmad bin Hambal dan Ibnu Habban telah mengeluarkan daripada hadis Al-Barra' bin 'Azib : Sesungguhnya ada seorang lelaki bertanya : Wahai Rasulullah! Ajarlah aku amalan yang boleh membawaku untuk memasuki syurga. Maka dia menyebut hadis itu. Dan di dalamnya ada Rasulullah S.A.W bersabda : Berilah makanan kepada mereka yang lapar, berilah minum pada mereka yang dahaga, menyuruh kepada kebaikan dan mencegah daripada kemunkaran. Sekiranya kamu tidak bercakap sesuatu itu maka tahanlah lidahmu melainkan untuk bercakap perkara yang baik.

Label:

PENGUKUHAN AQIDAH

Aqidah ataupun tauhid merupakan asas di dalam memperdalam dan menambahkan keyakinan terhadap segala rukun iman yang tertera dalam Al-Quran dan As-Sunnah Rasulullah S.A.W. Syarat utama sebelum berpegang teguh dengan tali Islam dan bernaung di bawah nurnya ialah dengan memastikan aqidah kita merupakan aqidah yang benar dan bertepatan dengan Al-Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W. Oleh itu kita mesti memastikan perkara-perkara berikut ada pada diri dan aqidah kita iaitu :
1. Beriman bahawa pencipta kepada segala kejadian ini adalah Allah yang Maha Bijaksana lagi Maha Berkuasa dengan dalil adanya kejadian ini kerana ihsan(belas kasihan) daripada Allah dan makhluk memerlukan sebahagian kepada sebahagian yang lain. Mustahil kejadian ini kekal dan berterusan tanpa jagaan Allah yang Maha Tinggi sebagaimana firman Allah dalam ayat 22 surah Al-Anbiya' yang bermaksud : Jika ada pada keduanya (langit dan bumi) tuhan lain selain Allah nescaya keduanya akan binasa. Maka Maha Suci Allah tuhan pemilik 'Arasy daripada apa yang mereka (kuffar) sifatkan.
2. Percaya bahawa pencipta alam ini iaitu Allah tidak menjadikan segala kejadian ini secara main-main dan dibiarkan begitu sahaja kerana tidak mungkin sesuatu yang memiliki segala sifat kesempurnaan iaitu Allah membuat sesuatu secara main-main. Mustahil untuk kita mengetahui secara terperinci mengenai kehendak Allah dalam mencipta makhluk ini melainkan melalui hadis Rasulullah S.A.W dan wahyu. Firman Allah dalam ayat 115 surah Al-Mukminun yang bermaksud : Maka adakah kamu menyangka bahawa Kami menciptakan kamu secara main-main dan kamu tidak akan di kembalikan kepada Kami. Firman Allah lagi dalam ayat 36 surah Al-Qiamah yang bermaksud : Adakah manusia menyangka mereka akan dibiarkan begitu sahaja ( tanpa dipertanggungjawabkan ).
3.Beriman bahawa Allah telah mengutuskan para rasul dan menurunkan kitab-kitab bagi menerangkan kepada manusia mengenaiNya, matlamat sebenar kejadian ini dan , serta beriman bahawa nabi Muhammad S.A.W merupakan rasul yang terakhir yang mana Allah menganugerahkan kepada baginda S.A.W mukjizat yang terbesar dan berkekalan iaituAl-Quran. Firman Allah dalam ayat 36 surah An-Nahlu yang bermaksud : Dan sesungguhnya Kami telah mengutuskan rasul bagi setiap umat (untuk menyerukan) : "Sembahlah Allah dan jauhilah thogut itu", maka di antara umat itu ada mereka yang diberi petunjuk oleh Allah dan ada juga di antara mereka yang telah pasti kesesatan pada mereka. Maka berjalanlah kamu di atas muka bumi ini dan perhatikanlah bagaimana kesudahan bagi mereka yang mendustakan(rasul-rasul).
4. Beriman bahawa matlamat utama dijadikan manusia ini adalah untuk mengetahui tentang Allah sebagaimana yang telah diberitahu olehNya, mentaatiNya dan beribadat kepadaNya. Firman Allah dalam ayat 56 hingga 58 surah Az-Zariyat yang bermaksud : Dan Aku tidak menjadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadat kepadaKu.Aku tidak mengha- rapkan sedikit rezekipun daripada mereka dan Aku tidak menghendaki mereka memberi makan padaKu. Sesungguhnya Allah yang mana Dialah Maha Pemberi rezeki lagi Maha Mempunyai Kekuatan lagi Maha Kukuh.
5. Beriman bahawa balasan bagi orang mukmin yang taat kepada suruhan Allah adalah syurga, manakala balasan bagi orang kafir yang engkar pula ialah neraka. Firman Allah dalam ayat 7 surah Syura yang bermaksud : Satu puak di dalam syurga dan satu puak yang lain berada dalam neraka.
6. Beriman bahawa setiap perbuatan manusia sama ada baik atau buruk dengan pilihan dan kehendaknya tetapi dia tidak akan berlakuan baik melainkan dengan taufiq dan pertolongan daripada Allah. Begitu juga dia tidak akan terjebak dengan perbuatan jahat kerana bantuan daripada Allah tetapi dia melakukannya dalam lingkungan keizinan dan kemahuannya sendiri. Firman Allah dalam ayat 7 hingga 10 surah As-Syamsu yang bermaksud : Dan jiwa serta penyempurnaannya. Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketaqwaannya. Sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa itu. Dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya.Dan firman Allah lagi dalam ayat 38 surah Al-Mudassir yang bermaksud : Setiap diri dipertanggungjawabkan di atas apa yang telah dilakukan.
7. Beriman bahawa perundangan yang dilaksanakan adalah hak Allah sahaja yang mana tidak boleh menjalankan hukum yang lain daripadanya seperti sekularisme, komunisme, kapitalisme, sosialisme dan lain-lain daripada hukum dan ideologi ciptaan manusia yang tidak mahu tunduk dan patuh kepada hukum Allah. Dibolehkan seorang muslim yang alim berijtihad di dalam mengeluarkan sesuatu hukum selagi mana tidak terkeluar daripada landasan yang telah ditetapkan oleh syarak.Firman Allah dalam ayat 10 surah As-Syura yang bermaksud : Dan setiap sesuatu yang mana kamu berselisih faham mengenainya maka keputusannya (terserah) kepada Allah. (Yang mempunyai sifat-sifat demikian) itulah Allah Tuhanku.KepadaNya
aku berserah diri dan kepadaNya aku kembali.
8. Mengetahui bahawa Allah mempunyai nama-nama dan sifat-sifat yang berkenaan dengan kehebatanNya. Imam Bukhari dan Muslim telah meriwayatkan satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah yang bermaksud : Bagi Allah ada 99 nama -seratus melainkan satu- yang mana tidak menghafalnya seseorang melainkan memasuki syurga. Dan Dia ganjil menyukai perkara ganjil.
9. Berfikir pada kejadian Allah bukan pada zatNya bertepatan dengan apa yang diperintahkan oleh Rasulullah S.A.W yang bermaksud : Berfikirlah pada kejadian Allah dan jangan kamu berfikir pada diri Allah maka sesungguhnya kamu tidak mampu menandingi kekuasaanNya.
10. Menyembah Allah dan tidak mensyirikkanNya dengan sesuatu. Mematuhi dan menyahut seruan dakwah kepada Allah melalui apa yang terkandung dalam risalah-risalah yang di bawa oleh rasul-rasul yang mana mereka mengajak kita untuk beribadat kepadaNya sahaja dan tidak tunduk pada sesuatu termasuk sistem dan ideologi ciptaan manusian melainkan kepada Allah dan perundanganNya. Firman Allah dalam ayat 36 surah An-Nahlu yang bermaksud : dan sesungguhnya kami telah mengutuskan kepada setiap kaum seorang rasul, oleh itu kamu hendaklah menyembah Allah dan kamu juga mestilah menjauhi Thogut(melampau).
11. Kita mestilah takut kepada Allah dan tidak takut kepada perkara lain. Perasaan takut ini mampu menjaga diri kita daripada melakukan apa yang dimurkaiNya dan terjebak dengan perkara yang diharamkan.Firman Allah dalam ayat 52 surah An-Nur yang bermaksud : Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan rasulNya dan takut kepada Allah dan bertaqwa kepadaNya maka mereka adalah orang-orang yang mendapat kemenangan.Dan firman Allah lagi dalam ayat 12 surah Al-Mulk yang bermaksud: Sesungguhnya mereka yang takut pada Tuhannya yang tidak nampak oleh mereka, mereka akan memperolehi keampunan dan pahala yang besar.
12. Sentiasa mengingati Allah yang mana apabila diam kita berfikir dan tatkala berbicara kita berzikir. Mengingati Allah merupakan rawatan diri yang paling berkesan dan ia juga merupakan senjata yang kukuh dan mampu digunakan setiap masa. Firman Allah dalam ayat 28 surah Ar-Ra'adu yang bermaksud : Mereka yang beriman dan hati mereka tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah hanya dengan mengingati Allahlah hati menjadi tenteram.Dan firman Allah lagi dalam ayat 36 dan 37 surah Az-Zukhruf yang bermaksud : Sesiapa yang berpaling daripada ajaran Tuhan Yang Maha Pemurah (Al-Quran) Kami sediakan bagi mereka syaitan maka syaitan itulah yang menjadi teman yang sentiasa bersamanya.
13. Sentiasa berserah diri kepada Allah di dalam setiap urusan dan berpegang kepadaNya dalam setiap perkara. Dialah yang menganugerahkan kepada kita kekuatan dan semangat yang mampu memudahkan segala kesusahan.Firman Allah dalam ayat 3 surah At-Tholak yang bermaksud : ....dan sesiapa yang menyerah diri kepada Allah maka nescaya Allah akan mengcukupkan (keperluan)nya. Mafhum hadis Rasulullah S.A.W yang diriwayatkan oleh imam Tarmizi : Jagalah Allah nescaya Dia akan menjaga engkau, jagalah Allah nescaya engkau akan mendapatiNya terhadap engkau, apabila memohon pohonlah kepada Allah, apabila engkau mahu perlindungan berlindunglah kepada Allah, Ketahuilah bahawa jika semua umat ini berhimpun untuk memberi manfaat kepada engkau sesuatu nescaya mereka tidak boleh sama sekali memberi manfaat kepada engkau melainkan sesuatu yang telah ditulis (ditentukan) oleh Allah kepada engkau. Dan sekiranya mereka berhimpun untuk memudharatkan engkau dengan sesuatu nescaya mereka tidak akan memudharatkan engkau melainkan pada sesuatu yang telah ditulis oleh Allah ke atas engkau. Telah di angkat segala pena dan telah dikosongkan segala helaian kertas.
14. Bersyukur kepada Allah di atas segala nikmatNya yang tidak terhitung banyaknya dan kemulian serta rahmatNya yang tidak terkira. Kesyukuran di atas segala sifat kasih sayang terhadap mereka yang diberi nikmat dan kebaikan serta kemulian terhadap mereka. Firman Allah dalam ayat 78 surah An-Nahlu yang bermaksud : Dan Allah mengeluarkan kamu daripada perut ibumu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatupun, dan Dia memberi kamu pendengaran, penglihatan dan hati agar kamu bersyukur. Dan firman Allah lagi dalam ayat 34 dan 35 surah Yaasin yang bermaksud : Dan Kami jadikan padanya kebun-kebun kurma dan anggur dan Kami keluarkan padanya pancutan beberapa mata air.Supaya mereka dapat makan daripada buahnya dan daripada apa yang diusahakan oleh tangan mereka. Maka mengapakah mereka tidak bersyukur?.
Dan Allah telah menjanjikan kepada mereka yang bersyukur dengan penambahan rezeki mereka sebagaimana dijanjikan kepada mereka yang menolak dan engkar dengan rezeki yang dianugerahkan dengan menggandakan kerugian. Firman Allah dalam ayat 7 surah Ibrahim yang bermaksud : Dan ingatlah juga ketika Tuhanmu memberitahu :"Sesungguhnya jika kamu bersyukur pasti Kami akan menambah nikmat dan sekiranya kamu mengingkarinya maka sesungguhnya azabKu amat pedih".
15. Kita yakin bahawa Allah sentiasa mengawasi setiap gerak laku kita seharian sama ada ketika berada di tempat yang terang ataupun di tempat yang tersembunyi. Firman Allah dalam ayat 7 surah Al-Mujadalah yang bermaksud : Tidakkah kamu perhatikan bahawa Allah mengetahui apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi?. Tiada perbicaraan rahsia di antara tiga orang melainkan Dialah yang keempatnya, Dan tiada perbicaraan secara rahsia di antara lima orang melainkan Dialah yang keenamnya. Dan tiada pula perbicaraan di antara jumlah yang kurang daripada itu atau lebih ramai melainkan Dia ada bersama mereka di manapun mereka berada. Kemudian Dia akan memberitahu kepada mereka pada hari qiamat apa yang telah mereka lakukan. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.
16. Sentiasa beristighfar memohon keampunan kepada Allah kerana istighfar itu merupakan suatu cara bagi mencari keampunan bagi segala dosa yang telah dilakukan dan ia mampu memberi ketenangan dan ketenteraman kepada kita. Firman Allah dalam ayat 110 surah An-Nisa' yang bermaksud : Dan sesiapa yang melakukan kejahatan dan menganiayai dirinya sendiri, kemudian dia memohon keampunan daripada Allah nescaya dia akan mendapati Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Label: